Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web


home      myself      guides      downloads      links      resume      stuff     

\\: linux dan pengguna baru...


Tujuan

Ini adalah artikel pertama saya dalam Bahasa Melayu bertujuan untuk menjadi rujukan terutama kepada pengguna baru. Ia juga bertujuan untuk menjawab soalan yang selalu diajukan seperti "Boleh cadangkan distro/Linux mana yang sesuai untuk pengguna baru macam saya ni?".

Tujuan artikel ni bukannya untuk menunjukkan mana-mana distro lebih baik dari distro lain, cuma ia bertujuan untuk menjawab soalan yang paling popular bagi 'beginner' yang baru nak mula berjinak-jinak dengan Linux. Artikel ini tidak juga bertujuan menjadi satu sumber rujukan teknikal kerana keterangan teknikal adalah minima juga kerana ia bertujuan untuk memberi kefahaman kepada pengguna baru.

"Apakan dia Sistem Operasi (Operating System)?"

SO - Sistem Operasi ialah satu perisian yang bertujuan untuk memudahkan interaksi pengguna dengan perkakasan (hardware). Ia juga menjalankan pelbagai fungsi untuk memastikan proses interaksi pengguna, perisian dan perkakasan berjalan lancar dengan menjalankan fungsi-fungsi penting seperti penjadualan (scheduler), pengurusan memori, kawalan capaian data (disk, media, dll), pengurusan I/O, dan lain-lain. Contoh SO : DOS, Windows 3.11, Windows 95, 98, Millenium, Windows 2000, Solaris, HP-UX, OS400, S390, Minix, Linux, dan lain-lain. Kesimpulannya tanpa SO, maka komputer hanyalah sebuah mesin tanpa sebarang fungsi!

"Apa itu Linux?"

Linux adalah merujuk kepada sistem pengoperasi 'Operating System' yang telah dicipta oleh Linus Torvalds. Sedikit sejarah, Linus Torvalds mula membangunkan Linux sejak dia di Universiti Helksinki, Finland pada tahun 1991. Ia bermula dari kehendaknya untuk menggunakan SO yang seakan UNIX (UNIX ketika itu mahal dan hanya boleh dilarikan di atas perkakasan berkemampuan tinggi dan... mahal).Pada ketika itu SO terbaik yang digunakannya hanyalah Minix. Linus telah memulakan revolusi Linux dengan 'membuka' kod sumber Linux kepada umum. Baginya pengaturcara terbaik tidak semestinya datang dari dirinya, Finland, AS, UK tetapi mungkin di segenap ceruk rantau dunia. Dengan ini bermulalah pembangunan Linux. Linus memegang hakcipta Linux dan beliau adalah penyelaras teras Linux - kernel, bersama beberapa pengaturcara lain untuk memastikan hala tuju Linux dan memastikan Linux sentiasa maju. Linus juga bertanggungjawab untuk mengumumkan pembangunan kernel, peningkatan versi dan pengumuman versi kernel terbaru. Namun seperti yang dinyatakan tadi ia juga bergantung kepada ahli pembangunan kernel sendiri untuk mengesahkan kernel tersebut sedia untuk digunakan.

Dari segi teknikal, apabila merujuk kepada Linux ia merujuk secara terus dengan 'kernel' bagi sistem operasi Linux itu sendiri. Satu kesilapan dalam pemahaman mengenai Linux ialah ia adalah sebahagian dari UNIX, sebagaimana IRIX, AIX, HP-UX, Solaris dan lain-lain. Ini adalah satu tanggapan yang salah kerana Linux telah dibina dari mula dengan menggunakan kod yang baru dan tidak berkaitan lansung dengan kod AT&T yang digunakan oleh UNIX. Ini boleh diketahui dengan mendalam dengan membaca mengenai sejarah UNIX itu sendiri. Walau bagaimanapun Linux adalah suatu SO (Sistem Operasi) yang menyerupai UNIX. Persamaan ini boleh dilihat dari pelbagai sudut, shell (commands), runlevels, cara penggunaan dan lain-lain.

"Apa sistem yang serasi Linux?"

Satu kelebihan Linux ialah ia boleh dilarikan di atas pelbagai platform, ini adalah kerana usaha pelbagai 'kernel hackers' di seluruh dunia untuk memperbaiki Linux. Linux secara umumnya boleh dilarikan di atas Platform berasaskan Intel seperti i386, i486, Pentium, Pentium Pro, Pentium II, III dan IV dan lain-lain. Ini juga termasuk sistem serasi Intel seperti Cyrix, AMD K5, K6, Athlon Duron dan lain-lain.

Suatu yang mengkagumkan ialah Linux juga tidak terhad kepada sistem Intel sahaja, bahkan ia juga mampu dilarikan atas pelbagai platform lain seperti: Sun Sparc, Compaq Alpha, POWER, AS 400, OS390 dan juga atas sistem-sitem 'embeded' seperti chip-chip Motorola, dan lain-lain.

Ini mempelbagaikan kegunaan Linux dari sistem operasi untuk 'embedded appliances' seperti set top box ASTRO (betul!), konsol Sony PS2, jam pintar, sistem 'desktop' pengguna, pelayan rangkaian seperti router, pengalis (firewall) sehinggalah pelayan pelbagai servis.

"OK, kenapa saya nak menggunakan Linux?"

Sesuatu yang penting untuk difahami oleh pengguna baru, kenapa nak menggunakan Linux? Sedangkan Windows yang sedia ada dah cukup untuk menjalankan semua tugas-tugas dan keperluan saya? Sebenarnya bagi saya kesilapan utama 'beginner' belajar Linux adalah kerana:

1. Saya benci Windows, MS monopoli dunia komputer.
2. Saya selalu dengar Linux so saya nak cuba.
3. Saya nampak kawan saya menggunakan Linux dan ia sungguh cool!
4. Nampak ganas sebab macam UNIX.
5. Saya baca dalam guide, kalau nak jadi hackers kena guna UNIX/Linux...
6. dan lain-lain...

Ok, mungkin ada antara alasan dan sebab ini benar tetapi yang paling utama ialah matlamat yang betul akan menghasilkan faedah. Pengalaman saya sendiri, rata-rata ramai kawan saya sendiri berminat dengan Linux, tetapi atas sebab yang salah antaranya seperti yang telah disebut di atas. Ini kerana tanpa matlamat yang betul, anda akan cepat putus asa dengan Linux. Ramai yang berhenti di tengah jalan tetapi tetap berbangga dengan status pengguna Linux!!!

Saya ingin berkongsi kenapa saya menggunakan Linux. Mungkin ia akan dapat menjadi satu panduan kepada 'beginner' semua. Pertamanya, memang saya mula menggunakan Linux kerana terbaca banyak cerita-cerita mengenai Linux ni dan minat timbul di situ. Setelah saya berjaya meng'install' Linux saya yang pertama - RedHat 6.0, saya mula terfikir apa matlamat saya menggunakan Linux? Ye lah, dalam komputer saya ada dua sistem operasi 'dual boot'. Kebanyakan masa saya hanya bermain dengan games dalam Linux dan mencuba beberapa command dalam console. Kalau setiap hari macam ni bosan juga! sejak dari itu saya cuba mencari apa yang saya mahu dari Linux dan antara matlamat saya ialah:

1. Belajar lebih dalam bagaimana pengurusan dalaman SO.
2. Belajar pelbagai teknologi seperti pelayan, rangkaian dan lain-lain.
3. Mengetahui UNIX.
4. Mencuba pelbagai perisian dan teknologi baru.
5. Nak berjinak-jinak dengan pengaturcaraan - programming.

Dan sampai hari ini saya tak pernah bosan dengan Linux.

Sebab-sebab lain:

1. Nak menggunakan perisian yang sah dan bukan 'pirate'.
2. Mahukan 100% hak ke atas perisian yang dimiliki.
3. Semangat 'Open Source' itu sendiri.

banyak lagi sebab kalau nak ditulis mungkin 7 hari 7 malam pun tak habis...

"Saya baru budak baru belajar, apa yang perlu saya tahu?"

Ni soalan favourite ni... kalau 'beginner', beberape pengetahuan penting saya gariskan di bawah:

1. Semangat
2. Cekal
3. Berdikari
4. Tahan ber'jaga' - tidur lewat
5. Pengetahuan tentang disk partitioning dan Linux file hierarchy.

Hmm... kebanyakannya bukan pengetahuan tapi sesuatu tabiat/perangai yang perlu ada pada diri kita. Senang je kan? Kenapa lak camni...?

Semangat - banyak kesukaran akan timbul bila guna Linux ni, ia tak semudah Windows. Cekal - kalau tak cuba console je dah nak guna Windows balik. Berdikari - banyak dokumentasi Linux ada di Internet secara percuma, saya percaya 99% task yang anda nak buat ada di sana. Linux ni berasaskan kepada berdikari, jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk menyelesaikan masalah anda kerana jika anda berdikari, anda akan mendapat lebih banyak pengetahuan dan kepuasan! Tahan ber'jaga' - ni bergantung kepada sejauh mana ke'gila'an terhadap Linux, jika anda seorang yang tak mahu mengalah mungkin anda perlu ber'jaga' untuk menyelesaikan masalah anda.

Pengetahuan pasal disk partitioning dan file hierarchy tu penting untuk mula nak install Linux dan berguna untuk berinteraksi dengan Linux. Ia taklah begitu penting kerana sekarang installation Linux telah dipermudahkan setaraf dengan Windows!

"Boleh cadangkan distro mana yang bagus untuk beginner?"

Menurut pengalaman saya eloklah berjinak-jinak dengan RedHat atau Mandrake. Sebab keduanya agak mudah bagi peringkat permulaan. Contoh seperti pengurusan perisian melalui RPM -RedHat Package Management dan GUI.

Distro lain juga bagus, tetapi kita perlu ingat distro-distro ini mempunyai matlamat mereka sendiri. Rata-rata perbezaan dari distro ke distro bermula dari matlamat segmen pasaran yang ingin dikuasai. Contoh seperti RedHat, pasaran mereka adalah lebih kepada pengguna biasa dan perniagaan, Mandrake juga agak sama tetapi cuba memberikan sesuatu yang lebih baik dari RedHat. SuSE pula lebih cenderung kepada pasaran Eropah dan 'style' distro itu lebih menjurus ke pengguna di sana. Turbo Linux pula memang tertumpu kepada perniagaan.

Apa yang membezakan antara distro. Faktor yang paling utama membezakan antara distro adalah pakej yang di'bundle', tweaking ke atas kernel dan yang paling utama driver, X Server dan Windows manager terbaru. Secara asasnya setiap distro akan menggunakan kernel terbaru.

Peningkatan Versi sesuatu distro selalu berubah kerana:
1. Update kepada kernel
2. Update kepada driver
3. Update kepada X windows subsystem.

Ambil perhatian bahawa versi distro tidak sama dengan versi kernel. Kedua-duanya merujuk kepada perkara yang berlainan!

Menurut Linux Journal bulan November 2001, ranking Anual Readers Choice Awards bagi distro
yang paling digemari:
1. RedHat
2. Debian
3. Mandrake

Jadi, mana-mana pun pilihan anda, pastikan ia atas matlamat yang betul dan atas sebab yang betul. Satu nasihat saya kepada beginner, pegangan yang selalu saya ingat ketika mula belajar Linux dulu, "Everybody starts as a beginner" - Sebelum menjadi advance user, semua akan jadi beginner so jangan takut untuk mengambil langkah pertama tu...

Selamat datang ke dunia Linux dan Open Source!

Hubungi Penulis

>> rujukan...

linux FAQ with answers

dokumen dari Linux Documentation Project yang mencakupi persoalan umum dengan lebih luas.

di sini

unix guru universe

segala maklumat yang anda perlukan dari pelbagai versi UNIX, tidak terhad kepada Linux sahaja. Mesti dilawati oleh peminat UNIX!

jom ke sana!


Elated PageKits